RSS
Container Icon

Hahaha..Padan Muke Korang!!



"Hahaha,padan muke diorang. Tu la banyak sangat buat dose, kan dah terbakar nigth club korang dengan korang2 skali hangus."
(Skrip apabila berlaku kebakaran pusat hiburan di Thailand)

"Tu la balasannye. Orang Bangla ni name jer Islam,tapi tak betul Islam diorang." (Skrip apabila berlaku banjir besar di Bangladesh)

"Kat Iran tu banyak orang Syiah yang sesat. Tu pasal la Allah bagi gempa bumi." (Skrip apabila berlaku gempa bumi di Bam,Iran)

Pasti ramai yang pernah mendengar atau pernah mengeluarkan skrip-skrip sedemikian apabila terjadi sesuatu musibah. Mungkin saya juga pernah berkata sebegitu tanpa saya sedari (Ya Allah! Ampunkan ler hambaMu ini).

Ramai umat Islam yang memiliki sifat angkuh di dalam diri mereka(termasuk saya yang lemah nih). Semua ini adalah penyakit umat Islam yang perlu diubati segera. Mencari-cari ayat bagi menjustifikasikan sesuatu musibah atau menuduh sesuatu musibah adalah azab Allah kerana keburukan sesuatu kaum merupakan suatu kesalahan yang amat besar. Mengapa ini terjadi?

1) Mereka menyalahgunakan ayat2 Allah dengan memaksa tafsirannya. Mereka tidak menjadikan Al-quran sebagai pemimpin, sebaliknya merekalah yang memimpin Al-Quran agar secocok dengan apa yang mereka kehendaki.

2) Mereka menuduh sekian-sekian kaum dengan sesuatu keburukan tanpa sebarang bukti yang kukuh disebaliknya. Asal sesuatu kaum itu ditimpa musibah maka mereka menuduh kaum tersebut sebagai kaum yang berdosa kerana maksiat yang dilakukan.

3) Mereka memperkatakan sesuatu terhadap Allah tanpa ilmu. Apabila mereka berkata, "Itulah azab Allah," seolah-olah mereka mewakili Allah dalam menerangkan apa dan kenapa sesuatu musibah itu berlaku. Memang,semua yang berlaku adalah dengan kehendak Allah. Akan tetapi kehendak Allah dipenuhi dengan pelbagai sebab dan hikmah,jauh berbeza dengan kehendak manusia.

Untuk lebih mendalami poin yang ketiga di atas, perlu kita ketahui bahawa apabila sesuatu musibah melanda sesuatu kaum, ia memiliki beberapa kemungkinan di sebaliknya. Antara kemungkinan tersebut adalah:

1) Allah mengasihi kaum tersebut dan ingin memberi peringatan agar kembali kepada kebenaran.

2) Allah mengasihi kaum tersebut dan musibah itu sebenarnya suatu yang baik bagi mereka dari pelbagai sudut yang hanya diketahui oleh Allah. Ini kerana manusia hanya mampu menilai sesuatu perkara secara zahir.

3) Allah mengasihi sesuatu kaum tersebut dan ingin memberi mereka kehidupan akhirat yang mereka idam-idamkan. Musibah yang melanda merupakan syahid kecil sebagai ganti kepada syahid besar yang diidamkan para mujahidin.

4) Allah menjatuhkan musibah kepada kaum tersebut sebagai penghapus kepada kesalahan yang mereka lakukan. Kadar musibah adalah selari dengan kadar dosa mereka.

5) Allah ingin menguatkan kaum tersebut,lalu diberikan musibah sebagai sesuatu yang dapat membina jati diri mereka.

7) Allah ingin menguji kaum yang terselamat daripada musibah sama ada mereka mensyukuri keselamatan yang mereka perolehi atau bersifat angkuh terhadapnya.

Marilah kita membandingkan diri kita dengan umat2 yang bukan Islam. Dalam suasana mereka yang ditimpa bencana, kita berkata,"Itulah kaum yang Allah turunkan azab atas mereka," sementara umat agama lain pula berkata, "Itulah kaum yang sangat memerlukan pertolongan."

Dalam suasana tersebut kita berkata, "Apakah kesalahan yang dilakukan oleh mereka hingga ditimpa musibah?", umat2 agama lain pula berkata, "Apakah yang dapat kita lakukan untuk membantu mereka?"

Sedang kita sibuk mencari ayat untuk menjustifikasikan musibah yang menimpa sesuatu kaum, masyarakat bukan Islam yang lain sibuk mencari peralatan Search and Rescue untuk dibawa bersama dalam misi menyelamat.

Marilah kita bersama-sama berubah sikap,bukan sahaja ke tahap menyamai umat2 lain tetapi melebihi mereka. Bukankah berlumba-lumba membuat kebaikan adalah dituntut dalam Islam?

"Dan bagi tiap-tiap umat ada kiblat (arah) yang masing2 menujunya. Oleh itu berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan kerana di mana saja kamu berada maka Allah tetap akan membawa kamu semua (berhimpun pada hari kiamat untuk menerima balasan); sesungguhnya Allah Maha Berkuasa atas tiap2 sesuatu." (Al-Baqarah 2:148)

Allahu'alam...


P/S: Saya tujukan entri ini bukan hanya untuk anda tetapi juga lebih kepada diri saya sendiri,insan yang serba kekurangan ini. Terima kasih tidak terhingga kepada mak ayah, sahabat2 dan ustaz saya yang banyak memberi nasihat dan pandangan mereka kepada saya. Syukur tidak terhingga saya ucapkan kepada Nya kerana mengurniakan manusia2 sebegini di dalam hidup saya. Moga Allah merahmati kalian...

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 kata mereka: